Wednesday, September 12, 2018

Tentang Kanda YY

Poligami.

Dulu aku tidak sokong poligami. Walaupun usia aku agak lewat, aku tetap tidak sokong poligami.

Sehinggalah pada tahun lepas, aku bercinta dengan rakan sekerja di mana beliau berstatus suami orang dan beristeri 2 orang. Kalau orang tanya bagaimana kami berkenalan, baik dia atau aku, memang tidak tahu nak mulakan cerita. Bibit-bibit cinta kami dimulakan dengan panggilan kanda dan dinda. Perbualan kami dileretkan hari demi hari dan kebetulan kami selalu berkomunikasi atas dasar kerja.

Pada 23 Ogos 2017, dia melamar aku sebagai kekasih hatinya dengan menyarungkan cincin di jari manis kiri aku. Betapa gembira nya hati aku pada ketika itu walaupun pada masa yang sama, kami melalui saat getir dengan isteri kedua dia dan dia menerima aku dengan seadanya. Dalam sebulan kami bersama, dia banyak membantu aku dalam semua benda. Aku kagum dengan kesungguhan dia sehinggakan dia sanggup sediakan rumah sewa, bayar bil telefon dan beri duit bulanan untuk aku. Niat dia adalah untuk menyenangkan aku dan dia tatang aku bagaikan minyak yang penuh. Rumah yang dia sediakan, aku hiaskan seperti rumah itu akan kami tinggal bersama selepas bernikah. Aku juga diberikan kesempatan untuk bertemu dengan isteri pertama dia dan keluarga aku juga menerima dia seadaanya.

Dipendekkan cerita, dari beristeri dua, tinggallah seorang sahaja. Aku harap keputusan yang dia ambil ini tidak menyalahkan aku. Tiada niat di dalam hati aku untuk memisahkan mereka tetapi apa yang diceritakan oleh dia, mereka tidak sehaluan.

Hari berganti hari, awal tahun 2018, dia menyatakan hasrat untuk meminang aku selepas bercuti di Krabi. Secara jujur, aku gembira tetapi di dalam hati ini, aku ada rasa takut. Entah kenapa aku harus rasa begini sedangkan ini yang aku nantikan. Mungkin aku harapkan dia beri lebih keyakinan untuk aku berpaut pada dia. Cincin sudah di beli, cuma nantikan hari tersebut. Namun, dek kerana mengikut hati aku ini, majlis itu dibatalkan kerana aku minta masa lagi. Bukan aku tidak serius tetapi mungkin aku terlalu ikutkan hati yang takut ini. Aku cuba untuk memperbetulkan keadaan tetapi malangnya, dah terlambat.

Langit tidak selalu cerah, dalam tidak sedari, dia telah berubah. Pada awal bulan 3,dia minta berpisah. Allahu Akbar! Jatuh jantung aku. Hanya Allah yang tahu betapa menyesalnya perbuataan aku yang selalu ikutkan hati ini. Dalam tidak sedar juga, aku ada tuduh dan memaksa dia. Puas aku pujuk dia dari bulan 3 tetapi hati dia sudah keras. Seperti tiada lagi cinta dan kasih saying di dalam hati. Cuma kata-kata penyedap hati. Aku boleh rasakan masing-masing sudah keliru apa yang kami mahukan. Tidak menentu keadaan kami selama 4 bulan. Hampir setiap hari kami bertekak tentang benda-benda yang tidak muhasabah. Mungkin salah aku juga, ego mengatasi segalanya.

Pada bulan 7, aku memutuskan untuk berdiam diri dan aku pulangkan segala apa yang dia berikan kepada aku. Sangkaan aku, dia akan datang dan memujuk aku tetapi sangkaan aku meleset. 2 minggu aku berdiam diri untuk menenangkan keadaan tetapi rupanya dia telah berubah hati kepada orang lain. Sekali lagi, hati aku hancur berderai. Aku bagaikan emak hilang anak dan tidak mampu paksa dia untuk duduk bersama lagi. Dengan rela hati, aku lepaskan demi kebahagiaan dia walaupun tidak kata-kata perpisahan yang sepatutnya tetapi hati aku masih kuat mengatakan dia akan kembali pada aku.
Aku tidak pasti kenapa harus aku rasa begitu. Hati kuat mengatakan dia adalah jodoh aku tetapi mungkin hati aku rasa begitu disebabkan terlampau sayang. Entahlah. Kalau aku rasa begini, apa yang dia rasa sebenarnya? Adakah niat dia terhadap aku akan masih sama andai bertemu lagi?

Aku hilang focus segalanya sehinggakan kerja aku terjejas. Aku ambil cuti selama sebulan untuk tenangkan diri. Aku cuba sibukkan diri dengan membuat aktiviti hiking, bowling, gym dan mengurung diri dalam bilik. Setiap malam aku menadah doa dan menangis kepadaNya. Sebelum cuti aku habis, aku daki gunung di Thailand. Sedih hati aku bila sampai di kawasan Thailand sebab mengenangkan kisah di Krabi. Hari terakhir aku di sana, aku menangis sepuas-puasnya dan tinggalkan memori dan kesedihan tentang kami di puncak itu.

Genap sebulan aku cuti, aku kembali bekerja. Aku sangkakan diri aku sudah kuat tetapi aku diuji pabila dia datang kembali. Ketika itu, aku gembira tak terkata tetapi aku cuba tidak memaksa keadaan lagi. Aku cuba tidak mengulang lagi kesilapan lalu. Rezeki aku hanya berpihak 2 minggu sahaja dan akhirnya, dia tinggalkan aku sekali lagi. Tiada kata yang aku mampu ungkapkan tetapi sekali lagi aku perlu bangkit semula. Hancur hati aku sekali lagi tetapi kali ini, aku hanya berfikiran positif;

“Allah uji aku sekarang untuk aku dapat yang lebih baik dari sebelum ini…”

Sejak dari itu sehingga hari ini, aku berdoa kepada Allah supaya aku dikurniakan rezeki yang lebih baik dari sebelum ini. Aku percaya Allah tahu niat aku dan dengan ujian ini, aku akan lebih tabah dan kuat untuk menempuh kehidupan seterus ini. Sebelum ini, aku dah banyak tempuh mimpi ngeri dalam percintaan, tak mustahil aku boleh tempuh yang ini kan? Aku mesti kuat demi ibu bapa aku!.

Untuk menyelesaikan segalanya, aku nekad meletakkan jawatan aku. Bukan masalah ini menjadi punca utama aku undur diri tetapi hal kerja juga tidak menyenangkan. Walaupun aku dinaikkan pangkat tetapi aku sendiri rasa tidak berkat kalau tiada kerja diberikan. Aku percaya rezeki Allah itu luas. Aku perlu usaha lebih untuk mencari rezeki demi keluarga aku dan aku beralah bukan kerana apa tetapi aku penat untuk melayan emosi ini.

Kepada si dia, aku minta maaf di atas segala kekhilafan dari ini dan terima kasih di atas segalanya. Terima kasih juga kerana hadir dalam hidup aku walaupun seketika dan aku bersyukur dengan apa yang kau berikan kepada aku selama ini. Aku doakan kau akan dapat kebahagiaan yang kau cari selama ini. Cuma aku berpesan, janganlah kau bermain lagi perasaan dengan seorang wanita yang tulus menerima kau seadanya dan janganlah anggap wanita yang mempunyai kisah silam yang gelap tidak mempunyai perasaan, impian untuk berkahwin. Mohon kau menyimpan aib aku selepas ini.

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang sentiasa ada ketika ini dan selalu mendoakan yang terbaik untuk diri aku. Ada rezeki, aku akan berjumpa dengan jodoh aku. Hanya Allah mampu membalas jasa baik kalian dan terima kasih menyimpan cerita semasa aku bersama dia.

#kuduk #23 #meon #audraqaseh #kandayy

No comments:

Post a Comment